PASIR MAS – Seorang lelaki berusia 38 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cecair berbau busuk di ruang solat Masjid Al-Aziz, Kota SPP Warisan, Tumpat, pada 5 Oktober lalu.
Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi, bermula hari ini hingga Selasa depan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, suspek ditahan di Kota Bharu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, polis menerima maklumat awam kira-kira jam 6.35 pagi pada 5 Oktober berhubung kejadian berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan sebelum cecair berbau busuk dipercayai disimbah di ruang solat.
“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan jumlah kerosakan atau kerugian yang dialami,” katanya. – KOSMO!
