KUALA LUMPUR – Seorang guru tuisyen yang juga guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal dan liwat terhadap tiga murid lelaki berusia 11 tahun.
Tertuduh, M.D. Sebastian, 46, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Ilmami Ahmad.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, selain menetapkan beberapa syarat tambahan.
Antara syarat berkenaan ialah tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagi dua pertuduhan pertama, Sebastian didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Jalan Puchong, masing-masing pada Julai lalu dan 30 September lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi empat pertuduhan lain, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dan dua lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani dan Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam Mansheel Kaur.
Mahkamah menetapkan 23 November dan 18 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen berkaitan kes.
Sebelum ini, seorang guru tuisyen ditahan pada 10 Oktober lalu kira-kira 11.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung dakwaan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 16 tahun.
Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk siasatan lanjut.
Siasatan polis ketika itu mendapati perbuatan berkenaan dipercayai berlaku di rumah suspek yang turut digunakan sebagai pusat tuisyen. – Utusan Malaysia
