SABAK BERNAM – Penemuan rangka manusia di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Saring Tebuk, Sungai Air Tawar di sini pagi tadi mengejutkan penduduk setempat.
Rangka yang masih belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan seorang lelaki tempatan kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada pukul 11.12 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati lokasi itu merupakan kawasan kebun kelapa sawit yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama dan 200 meter dari pesisir pantai Siput, Kampung Bumi Hijau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Unit Anjing Pengesan (K9) dan pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut dipanggil bagi membantu siasatan di lokasi penemuan rangka tersebut.
“Rangka telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya lagi.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

