Pengkarya muda sudah berani, penonton Malaysia perlu lebih terbuka terhadap genre filem baharu

KUALA LUMPUR — Pengarah filem dan alumni Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Putri Purnama Sugua menegaskan bahawa jantung sesebuah cerita terletak pada skrip dan cerita itu sendiri ketika mengulas kepentingan naratif dan kedalaman makna dalam penghasilan filem.

Putri menyifatkan kelemahan utama dalam kalangan pengkarya muda ialah kecenderungan menyentuh isu hanya pada dasar tanpa menggali makna yang lebih mendalam.

Menurutnya, penceritaan tersebut tidak memberi peluang kepada penonton untuk benar-benar memahami atau merasai mesej yang ingin disampaikan.

“Penonton mungkin tidak faham sepenuhnya, tetapi jika kita jujur dalam bercerita, mereka akan rasa sesuatu. Itu yang penting. Bukan semua cerita perlu difahami secara literal, tetapi perlu dirasai,” ujarnya ketika ditemui MYBERITA semasa sidang media Cine-Royale: The Grand Premiere – Final Year Project Film Showcase, yang berlangsung di IOI Mall Damansara, pada Rabu.

Beliau menyarankan pengarah muda agar banyak menonton pelbagai filem, khususnya dari luar negara, bagi memperluaskan pemahaman terhadap makna tersirat dan teknik penceritaan berlapis.

Katanya, pendedahan kepada kepelbagaian genre dan gaya visual membantu membentuk kepekaan pengkarya terhadap nuansa emosi dalam sesebuah cerita.

“Untuk hasilkan cerita yang bermakna, kita sendiri perlu hidup sebagai manusia yang peka. Jangan kejar trend. Cari apa yang betul-betul mengganggu hati kita, ceritakan itu,” tambahnya lagi.

Putri turut memuji keberanian pelajar tahun akhir UiTM yang mempersembahkan karya-karya yang mencabar dalam CineRoyale: The Grand Premiere – Final Year Project Film Showcase yang berlangsung di IOI Mall Damansara.

Antara karya yang mendapat perhatian beliau ialah Yogurt Asli dan The Cut, yang disifatkan membawa pendekatan baharu dalam sinema tempatan.

“Ini kali pertama saya lihat filem pelajar sebegini dalam pawagam Malaysia. Ia mengingatkan pembikin siapa mereka sebelum mereka jadi siapa mereka nanti,” katanya dengan penuh harapan.

Dalam sidang media yang sama, pengarah, penulis skrip dan pelakon berpengalaman, Megat Sharizal, turut memberi pandangan bahawa cabaran utama bukan sahaja datang daripada soal teknikal atau skrip, tetapi juga dalam membina audiens yang sedia menerima bentuk penceritaan baharu.

BACA JUGA:  LGM perkenal langkah baru kawal selia sektor sarung tangan getah demi ketahanan industri

“Kita perlu bina audiens kita. Sayang bila kita ada pembikin filem yang berani berkarya, tapi penonton belum bersedia,” katanya.


Menurut beliau, audiens tempatan masih cenderung memilih genre popular seperti aksi, seram dan komedi, yang sudah menjadi \’selera tetap\’.

Beliau percaya, perubahan boleh berlaku secara berperingkat jika pengkarya muda konsisten mempersembahkan karya berbeza sambil mendidik audiens untuk lebih terbuka dan matang dalam menilai seni visual.

Kedua-dua tokoh ini sepakat bahawa pelajar dan pengkarya muda perlu menyedari bahawa mereka bukan hanya menceritakan kisah, tetapi turut menggerakkan perubahan dalam cara masyarakat menghargai seni dan naratif tempatan.

CineRoyale: Tayangan Perdana Gemilang ini mempersembahkan hasil karya pelajar tahun akhir dari Program Filem, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana dengan kerjasama Golden Screen Cinema
(GSC).

Program yang dianjurkan oleh pelajar Semester 4 program Ijazah Sarjana Muda
Kepujian Filem (Pengarahan), Ijazah Sarjana Muda Kepujian Filem (Sinematografi) dan Diploma Filem, tayangan ini merangkumi pelbagai karya pelajar daripada filem pendek, iklan televisyen (TVC) hingga pengumuman khidmat masyarakat (PSA) yang mengetengahkan tema sosial penting melalui lensa kreatif yang segar.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...