KUALA LUMPUR – Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan berhubung insiden seorang wanita terjatuh daripada sebuah kenderaan yang sedang bergerak di laluan kedua Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular berdurasi 14 saat di media sosial yang memaparkan insiden berkenaan.
“Rakaman berkenaan menunjukkan seorang wanita membuka pintu sebelum keluar daripada kenderaan yang sedang bergerak laju.
“Kejadian itu menyebabkan wanita tersebut bergolek di atas jalan raya dan hampir dilanggar beberapa kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Beliau berkata, sehingga kini polis masih belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kejadian tersebut.
“Orang ramai atau saksi kejadian diminta segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan terus kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

