“Manusia tiada hati perut, kerat tubuh anak, cucu saya macam ayam” – ibu mangsa

MELAKA – Suasana hiba menyelubungi Mahkamah Tinggi Melaka apabila seorang ibu, Fatimah Latiff, 67, sebak dan menangis ketika memberi keterangan impak mangsa (VIS) terhadap menantunya, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, yang didapati bersalah membunuh anak dan cucunya dalam kejadian kejam pada 2019.

Shahrul, warga Singapura, disabitkan kesalahan membunuh isterinya, Norfazera Bidin, 27, dan anak tirinya, Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, sebelum tubuh mangsa dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian dan dibuang di beberapa lokasi termasuk kawasan semak serta tong sampah.

Lebih mengerikan, kepala Norfazera turut ditemui disorokkan di siling rumah mereka di Batu Berendam.

“Manusia tidak berhati perut, dia kerat-kerat badan anak dan cucu saya macam seekor ayam. Saya reda dengan keputusan mahkamah, tetapi saya tidak akan maafkan dia sampai mati,” katanya sambil memohon hukuman gantung sampai mati dijatuhkan ke atas tertuduh.

Dalam prosiding itu, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan terhadap tertuduh, berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 11 Oktober 2019.

Bagaimanapun, Fatimah berkata hukuman tersebut belum cukup adil bagi keluarga mereka.

“Saya masih ingat keadaan ketika memandikan jenazah anak. Sampai hari ini, anggota tangan anak dan cucu saya masih tidak ditemukan. Apa yang dia buat lebih teruk daripada binatang, kerana binatang pun sayangkan keluarganya. Kami akan buat rayuan untuk hukuman lebih berat,” katanya dengan linangan air mata.

Kakak mangsa, Munira Bidin, 35, turut menangis ketika memohon hukuman mati terhadap tertuduh atas alasan kehilangan dua ahli keluarga dalam keadaan amat menyayat hati.

Suasana penuh emosi itu menyebabkan hakim terpaksa menangguhkan prosiding selama lima minit.

“Anak arwah yang kini berusia lapan tahun juga masih sering bertanya di mana ibu dan abangnya. Trauma ini sangat berat buat kami,” katanya.

Seorang lagi kakak, Norhafizah, 39, memaklumkan keluarga mereka melalui peguam akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah.

BACA JUGA:  Dipaksa \'push-up\' 200 kali, 62 pelajar SBP di Teluk Intan jadi mangsa buli - Polis

Media pada Oktober 2019 melaporkan pembunuhan itu terbongkar selepas kakak mangsa datang ke rumah Norfazera yang gagal dihubungi.

Beberapa bahagian tubuh mangsa ditemui seorang pemotong rumput di Kampung Ladang, Krubong.

Polis kemudian menahan Shahrul pada 11 Oktober 2019. Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga.

Tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan serta Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...