KUALA LUMPUR – Seekor kucing bernama Ciku dipercayai mengalami kemurungan teruk sehingga kelihatan kurus kering dan menampakkan tulang selepas kematian pemiliknya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian cucu arwah di TikTok, sejak tuannya menghembuskan nafas terakhir, Ciku dilihat hilang selera makan dan tidak lagi ceria seperti dahulu.
“Lepas atuk (tuannya) tak ada, Ciku dalam keadaan ‘depression’. Daripada gemok, sakit sampai kurus kering, tulang sampai timbul. Semua rindu atuk, termasuk Ciku,” tulisnya.
Video berdurasi 21 saat itu turut memaparkan kucing berkenaan duduk di atas pusara pemiliknya sambil mengeluarkan suara seolah-olah berbual.
Hasil semakan di ruangan komen, ada pengguna yang mencadangkan agar kucing itu dibawa ke klinik haiwan untuk pemeriksaan.
Namun, pemuda tersebut menjelaskan bahawa pihak veterinar memaklumkan Ciku sudah berusia belasan tahun dan berada dalam keadaan tertekan akibat kehilangan tuannya.
“Dah bawa veterinar, pakar kata tak boleh buat apa sebab dah tua sangat. Tambahan pula (Ciku) alami ‘mentally down’ sebab tuannya dah tak ada. Pakar nasihatkan bela sahaja sampai habis,” jelasnya.
Sementara itu, beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman sama apabila haiwan peliharaan mereka jatuh murung selepas kehilangan insan tersayang.
“Masa ayah saya meninggal dulu, kucing di rumah memang nampak sangat tertekan. Dia menyendiri, tak nak makan dan merajuk daripada bermain dengan kami. Sampailah akhirnya dia mati. Sekarang kami pula yang sedih kehilangan kucing kesayangan sekeluarga,” kongsi seorang pengguna lain.

