KUALA LUMPUR – Pengarah sebuah syarikat pembinaan lebuh raya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, 74, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta.
Abu Sahid yang juga pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi empat pertuduhan pecah amanah, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang syarikat berjumlah RM313 juta melalui akaun bank di Bukit Tunku antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan serta denda.
Selain itu, bagi 13 pertuduhan lain, beliau didakwa memindahkan dan melupuskan wang berjumlah RM139 juta hasil daripada aktiviti haram antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018 di lokasi sama. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, isteri tertuduh, Puan Sri Noor Azrina Mohd. Azmi, 48, turut didakwa atas satu pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM67.1 juta daripada akaun suaminya ke akaun peribadinya di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac hingga 27 November 2017.
Bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, 68, pula berdepan 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan projek lebuh raya MEX II melibatkan jumlah RM314.4 juta antara Jun 2017 hingga April 2018.
Mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM1.5 juta terhadap Abu Sahid, RM500,000 terhadap Noor Azrina dan RM1 juta terhadap Wee Leong, dengan syarat tambahan menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Abdul Hakeem Aiman. Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 November ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyita aset bernilai kira-kira RM32 juta termasuk 217 jam tangan mewah, 27 tas tangan berjenama, barangan kemas, sembilan kenderaan mewah, kediaman eksklusif serta wang tunai, dipercayai berkait siasatan dana sukuk projek lebuh raya tersebut.

