KUALA LUMPUR – Penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam menegaskan bahawa pendedahan secara langsung di lokasi penggambaran atau fieldwork merupakan elemen paling penting dalam membentuk bakat baharu industri perfileman, khususnya dalam kalangan pelajar dan golongan muda.
Menurut beliau, program berbentuk festival filem pendek atau short film yang memberi ruang kepada pelajar menghasilkan karya sendiri merupakan satu langkah positif dan wajar diteruskan dari semasa ke semasa.
“Memanglah mereka ini masih pelajar, masih baharu dalam bidang ini. Sudah tentu ada kekurangan, tetapi ada juga hasil yang baik. Secara keseluruhan, apa yang saya lihat tidak mengecewakan,” katanya ketika mengulas penyertaan pelajar dalam sebuah program pameran karya baru-baru ini.
Yusof berkata, bakat yang dimiliki pelajar perlu terus diasah melalui pendedahan lebih luas, antaranya dengan menjalani latihan industri atau internship di syarikat-syarikat penerbitan filem dan drama.
“Yang paling penting bagi saya adalah proses pembelajaran di lokasi. Kita di Malaysia ini banyak teori. Tapi bila pelajar terdedah dengan kerja sebenar di set penggambaran, mereka akan belajar dengan lebih cepat,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi pengalamannya yang telah lebih 10 tahun mengendalikan syarikat produksi secara aktif, termasuk menerima pelajar praktikal daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.
“Walaupun mereka buat kerja asas seperti angkat lampu, sediakan air atau bantu kru produksi, semua itu sebenarnya adalah proses pembelajaran. Mereka tengok cara penggambaran, cara pelakon bekerja, itu semua ilmu,” katanya.
Namun, Yusof mengingatkan bahawa industri perfileman menuntut tahap kesabaran dan ketahanan yang tinggi kerana proses penggambaran memakan masa panjang dan kerja yang renyah.
“Kalau tak sabar, memang tak boleh. Ada yang ikut tiga hari, lepas itu kata penat dan tak sanggup. Tapi yang cekal, mereka inilah yang akan bertahan,” katanya.
Mengulas pengalaman melibatkan pelajar UiTM, beliau memaklumkan kira-kira 90 peratus daripada mereka berjaya menyesuaikan diri dan kekal dalam proses pembelajaran di industri.
Sehubungan itu, Yusof berharap lebih banyak syarikat produksi tampil memberi peluang latihan industri kepada pelajar bagi melahirkan generasi baharu yang lebih bersedia menghadapi realiti industri perfileman.
“Bagi peluang kepada mereka. Proses pembelajaran sebenar bermula di padang, di lokasi penggambaran. Di situlah bakat boleh berkembang,” katanya.




