KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penghantar makanan membantu seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) melintas jalan mengundang rasa kagum dalam kalangan orang ramai di media sosial.
Menerusi video tular dikongsikan di TikTok, kelihatan rider berbangsa Melayu itu berhenti sebelum turun dari motosikal untuk membantu lelaki OKU berbangsa India melintas dengan selamat.
Dalam rakaman tersebut, rider berkenaan dilihat memimpin lelaki itu dengan penuh berhati-hati sambil memastikan keadaan jalan selamat sebelum meneruskan perjalanan.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang memuji sikap prihatin dan nilai kemanusiaan ditunjukkan tanpa mengira perbezaan bangsa.
“Malaysia ini satu keluarga, tidak kira bangsa dan agama. Kita semua anak Malaysia dan perlu saling membantu antara satu sama lain. Terima kasih sahabat,” kata seorang pengguna.
“Inilah bangsa Malaysia yang kita sayangi, saling tolong-menolong tanpa mengira kaum. Tuhan sentiasa bersama orang yang berbuat baik,” ujar seorang lagi pengguna.
Ada juga yang menyifatkan tindakan rider tersebut sebagai contoh terbaik nilai murni yang perlu diterapkan dalam masyarakat, terutama dalam membantu golongan memerlukan. -MYBERITA

