KUALA LUMPUR – Kecekalan seorang individu orang kurang upaya (OKU) yang gigih mencari rezeki demi menyara keluarga mengundang perhatian ramai selepas kisahnya dikongsi pempengaruh dikenali sebagai Abang Roy di media sosial.
Menerusi video dimuat naik di TikTok, Abang Roy dilihat tidak dapat menahan sebak apabila lelaki terbabit mendedahkan dirinya perlu berdiri sehingga 10 jam setiap hari untuk menghabiskan jualan kerepek.
Menurut lelaki itu, dia menghidap kecacatan pada kaki sejak lahir, menyebabkan sebelah kaki tidak begitu kuat.
“Saya mula berniaga pukul 1 tengah hari dan biasanya balik sekitar pukul 10 malam.
“Saya OKU sejak lahir di bahagian kaki, sebelah kaki memang tak kuat sangat,” katanya.
Tambahnya, dia mempunyai lima orang anak dan menjadi satu-satunya pencari nafkah keluarga kerana isterinya tidak bekerja bagi menjaga anak-anak mereka yang masih kecil.
“Saya ada lima orang anak. Saya seorang sahaja yang bekerja untuk sara keluarga, isteri jaga anak di rumah.
“Kadang-kadang saya sedih bila berniaga, tiada orang beli. Saya juga tak dibenarkan kerja kontrak sebab keadaan kaki,” ujarnya.
Lebih menyentuh hati, lelaki itu memaklumkan anak-anaknya tidak mengetahui keadaan sebenar dirinya yang terpaksa berdiri lama setiap hari untuk mencari rezeki.
Difahamkan, dia menjual kerepek pada harga RM1.70 sepeket dengan keuntungan harian tertinggi sekitar RM34.
Lelaki berkenaan berniaga setiap hari di sebuah stesen minyak Petronas di kawasan TPM di sini. -MYBERITA

