GEORGE TOWN – Bakat-bakat baharu dalam industri perfileman tempatan dilihat mampu menjadi pemangkin kepada kelahiran generasi baharu yang lebih berani dan kreatif dalam dunia sinema, kata Pengarah Kreatif, Muhammad Shaffuan.
Beliau berkata, platform seperti festival filem dan projek kandungan digital menjadi ruang penting untuk pelajar dan anak muda mengasah bakat sebelum melangkah ke industri sebenar.
“Bakat-bakat baru ni adalah salah satu benda yang sangat bagus untuk kita come out dengan generation-generation yang berminat dalam perfilman,” katanya ketika ditemui pada malam Anugerah Festival Filem Anak Muda Kali Ke-5 yang berlangsung di Balai Paseban Agung, Universiti Sains Malaysia (USM), malam tadi.
Menurutnya, penyertaan awal dalam festival seperti Filem Festival Malaysia (FFM) banyak membantu membentuk semangat dan disiplin berkarya, selain membuka ruang kolaborasi antara universiti.
“Saya pun pernah masuk FFM pertama dan kedua dan ini melonjakkan spirit saya untuk berkarya… semakin berkarya bersama-sama dengan kawan-kawan dan universiti-universiti lain,” katanya.
Tambah beliau, pendedahan kepada karya dari institusi lain juga penting bagi menilai tahap kemampuan diri serta mengenal pasti kelemahan sebelum melangkah ke industri sebenar.
“Bila kita tengok universiti lain, kita nampak oh sebenarnya kita banyak lagi kena belajar. Benda itu adalah kita tahu kat mana kita patut belajar lagi untuk kita menghadapi halangan ataupun cabaran di industri luar sana nanti,” jelasnya.
Mengulas tahap persediaan untuk memasuki industri filem, Muhammad Shaffuan mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki termasuk aspek visual dan penceritaan.
“Kalau nak katakan bersedia, saya rasa masih lagi… saya pun rasa macam belum cukup lagi. So diorang pun masih lagi kena belajar dari segi aspek visual, penceritaan. Filem ni bukanlah satu aspek saja, pelbagai aspek,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi perkembangan projek bersama rakan kreatifnya, Sofian, menerusi Astro Cinematic Universe yang disifatkan sebagai “training ground” sebelum menghasilkan filem penuh.
“Alhamdulillah baru satu keluar, Cinematic Universe episod pertama dan kedua kat Taha… itu adalah playground ataupun training ground me and Sofian untuk membuat sebuah film soon insyaAllah,” katanya.
Beliau menambah, pengalaman tersebut banyak membantu mereka beralih daripada content creator kepada pembikin filem sebenar.
“Kami adalah content creator untuk berpindah kepada sebuah filmmaking… dari situ kami belajar dari segi dialog, skrip, jadi benda tu mematangkan kami dari segi penyampaian cerita,” ujarnya.
Mengulas hubungan kerjasama bersama Sofian, beliau menyifatkan kolaborasi mereka sebagai sangat baik dan bebas konflik.
“Saya memang mesra dengan Sofian, saya tak pernah bergaduh… kita orang ni happy je, kadang-kadang sedih tu pernah sedih sama-sama, marah tu tak pernah marah,” katanya sambil menyifatkan rakannya itu sebagai “budak baik”.

