KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Pilihan Raya gabungan itu, Datuk Mohd Radzi Md Jidin serta Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkuat kuasa serta-merta dalam satu penstrukturan semula pentadbiran parti.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan media selepas Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang yang berlangsung sebentar tadi.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 Perlembagaan Perikatan Nasional bagi memperkemas jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam penstrukturan semula tersebut, jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya yang sebelum ini disandang Mohd Radzi digantikan oleh Muhammad Sanusi Md Noor, yang turut diberi tanggungjawab baharu dalam memperkukuh strategi pilihan raya gabungan berkenaan.
Sementara itu, jawatan Bendahari PN yang sebelum ini dipegang oleh Muhammad Sanusi turut diisi oleh Timbalan Presiden MIPP, S. Subramaniam, sebagai sebahagian daripada penyusunan semula struktur organisasi.
Ahmad Samsuri Mokhtar berkata satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan lagi hala tuju serta memperkukuh pengurusan gabungan tersebut.


