KUALA LUMPUR – Suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Kamil Misuari dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi Nancy petang tadi.
“Dengan penuh rasa sedih dan dukacitanya dimaklumkan bahawa Datuk Kamil bin Misuari telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut Nancy, jenazah Allahyarham akan diuruskan di Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke Kuching, Sarawak pada esok.
Jenazah Allahyarham kemudiannya akan ditempatkan di kediaman rasmi Nancy di Taman Serira, Jalan Mengeris, Petra Jaya bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching.
Bagaimanapun, pihak keluarga memaklumkan bahawa waktu bagi penghormatan terakhir akan diumumkan kemudian.
Pemergian Allahyarham Datuk Kamil Misuari telah mengundang rasa dukacita dalam kalangan kenalan, sahabat serta masyarakat yang mengenali beliau.
Orang ramai turut menzahirkan ucapan takziah kepada Datuk Seri Nancy Shukri dan seluruh ahli keluarga atas kehilangan insan tersayang itu.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.


