KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menafikan pernah menandatangani dokumen berkaitan perintah tahanan rumah yang sedang tular dan dikaitkan dengan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
- Hannah menerusi hantaran di X awal pagi Khamis menegaskan dokumen berkenaan adalah palsu selain meminta orang ramai tidak menyebarkannya.
- Penafian itu turut disokong Setiausaha Akhbar kepada Hannah, Ahmad Fazli Mohd Yadi yang menegaskan tandatangan pada dokumen berkenaan bukan tandatangan rasmi menteri itu.
- Berdasarkan dokumen yang tular itu, ia antara lain memaparkan tandatangan yang didakwa milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Hannah.
- Hannah sebelum ini berkata pandangannya dalam mesyuarat tersebut diberikan selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara, namun keputusan muktamad berhubung pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan…
Hannah menerusi hantaran di X awal pagi Khamis menegaskan dokumen berkenaan adalah palsu selain meminta orang ramai tidak menyebarkannya.
“Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial. Lembaga Pengampunan masih belum bersidang.
“Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini. Setiausaha Akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Penafian itu turut disokong Setiausaha Akhbar kepada Hannah, Ahmad Fazli Mohd Yadi yang menegaskan tandatangan pada dokumen berkenaan bukan tandatangan rasmi menteri itu.
“Saya menafikan bahawa itu tandatangan rasmi @hannahyeoh dan jelas ini adalah fitnah semata-mata. Itu bukan tandatangan Hannah.
“Saya akan buat laporan kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat,” katanya menerusi Threads.
Kenyataan Ahmad Fazli dibuat sebagai respons terhadap hantaran seorang pengguna media sosial yang mendakwa Najib akan diberikan perintah tahanan rumah.
Berdasarkan dokumen yang tular itu, ia antara lain memaparkan tandatangan yang didakwa milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Hannah.
Bagaimanapun, Hannah secara terbuka menafikan pernah menandatangani perintah berkenaan, manakala Ahmad Fazli menyifatkan tandatangan yang dikaitkan dengan menteri itu sebagai palsu.
Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan Hannah, satu aduan turut dibuat menerusi portal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan sistem memaparkan aduan tersebut berjaya dihantar untuk diproses.
Perkembangan itu berlaku ketika permohonan pengampunan Najib kembali menjadi perhatian selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menangguhkan permohonannya pada mesyuarat 11 September lalu. Hannah sebelum ini berkata pandangannya dalam mesyuarat tersebut diberikan selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara, namun keputusan muktamad berhubung pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan terbaharu, laporan media pada Rabu mendakwa Lembaga Pengampunan akan bersidang semula pada 18 September dengan permohonan Najib sebagai agenda. Bagaimanapun, laporan itu menyatakan belum ada pengesahan rasmi mengenai mesyuarat tersebut ketika ia diterbitkan.
Untuk rekod, Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
