MahkamahPermohonan pengampunan Najib ditangguh ke mesyuarat akan datang

Permohonan pengampunan Najib ditangguh ke mesyuarat akan datang

KUALA LUMPUR – Permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak belum menemui noktah apabila pertimbangannya ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang akan datang.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda memperkenankan supaya permohonan bekas Perdana Menteri berkenaan ditangguhkan dan dibawa semula untuk pertimbangan pada mesyuarat seterusnya.

“Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan supaya permohonan tersebut ditangguhkan dan dibawa untuk pertimbangan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, tarikh mesyuarat berkenaan belum dinyatakan, sekali gus bermakna keputusan mengenai permohonan Najib masih belum diketahui.

Permohonan berkenaan sebelum ini menjadi antara perkara yang mencuri perhatian menjelang mesyuarat hari ini susulan spekulasi mengenai kemungkinan keputusan dibuat terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam perkembangan sama, Sultan Ibrahim turut memperkenankan pembebasan 65 banduan.

BHEUU berkata, semua banduan bukan warganegara Malaysia yang dibebaskan perlu dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas pembebasan.

“Semua banduan bukan warganegara Malaysia yang dibebaskan hendaklah dihantar pulang ke negara masing-masing dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pembebasan,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, Najib, 72, sedang menjalani hukuman berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International selepas disabitkan kesalahan dan pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Pada Disember 2025, Najib turut disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion bagi kes berkenaan dan kini sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan tersebut.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-