KUALA LUMPUR – Tiga pingat emas dan tiga rekod kejohanan mengiringi kejayaan pelari jarak jauh HELP University, Darren James Nair apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.
Atlet berusia 24 tahun itu tampil cemerlang apabila menyapu emas acara 10,000 meter (m), 5,000m dan 3,000m lari berhalangan, selain memperbaharui rekod kejohanan bagi ketiga-tiga acara berkenaan.
Darren masing-masing mencatat 33 minit 04.02 saat dalam 10,000m, 15:16.42 bagi 5,000m dan 9:37.39 dalam acara 3,000m lari berhalangan.
Kejayaan itu lebih bermakna buat Darren selepas terlepas gelaran Olahragawan pada penampilan pertamanya di SUKIPT biarpun ketika itu turut meraih tiga pingat emas dan mencipta tiga rekod kejohanan.
“Pada edisi sebelum ini, saya menang tiga emas dan tiga rekod tetapi ketika itu saya tidak dinobatkan sebagai Olahragawan kerana ada atlet lain yang memecahkan rekod kebangsaan.
“Jadi, saya rasa kali ini rezeki tidak pernah salah alamat. Kali ini saya dapat gelaran Olahragawan dan sejujurnya saya sendiri tidak tahu hendak kata apa.
“Saya dapat berita ini pada pukul 12.30 tengah hari dan dua jam kemudian saya sudah berada di sini. Jadi, ia masih terasa seperti mimpi bagi saya,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), hari ini.
Tidak mahu terlalu dibuai kejayaan, Darren kini mengalihkan sepenuh perhatian kepada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 pada Disember depan dengan acara 5,000m menjadi fokus utamanya.
Dia menyasarkan untuk memecahkan benteng 15 minit dalam acara berkenaan selepas mencatat 15:16.42 ketika meraih emas di SUKIPT 2026.
“Fokus saya sekarang adalah AUG pada Disember dan acara yang saya mahu tumpukan ialah 5,000m. Saya belum pernah berlari di bawah 15 minit, jadi saya mahu mencapai sasaran itu sebelum mengalihkan fokus kepada Sukan SEA tahun depan.
“Saya sebenarnya sudah berada pada tahap kecergasan itu. Ia cuma menunggu masa untuk saya melaksanakannya.
“Kalau saya boleh berlari tiga acara dan mencatat 15:16, bayangkan kalau saya hanya diberikan satu acara untuk fokus,” katanya.
Darren ketika ini sudah mengesahkan kelayakan untuk beraksi dalam acara 5,000m di AUG, manakala peluangnya menyertai 3,000m lari berhalangan masih belum dapat dipastikan.
“Buat masa ini saya sudah layak untuk 5,000m, manakala 3,000m lari berhalangan masih 50-50. Kalau dapat, saya akan sertai dua acara tetapi sekarang hanya satu yang pasti,” katanya.
Selepas AUG, Darren merancang mengalihkan fokus kepada misi lebih besar untuk menghadapi Sukan SEA 2027 dengan 5,000m kekal sebagai acara utamanya.
Dalam pada itu, Darren mendedikasikan gelaran Olahragawan SUKIPT 2026 kepada ibunya, Ram Jeyanthi yang membesarkannya sebagai ibu tunggal bersama dua adik perempuannya.
Menurut Darren, pengorbanan ibunya menjadi antara sumber kekuatan terbesar dalam perjalanan kariernya, terutama ketika dia masih belum mampu membalas jasa wanita berkenaan dari sudut kewangan.
“Ibu banyak berkorban untuk saya. Sebagai seorang anak, saya belum bekerja dan saya belum mampu memberikan wang atau membelikan apa yang dia mahukan.
“Tetapi saya rasa saya boleh memberikan dia nama yang baik. Apabila orang berkata mereka melihat anaknya di televisyen dan anaknya membuatkan dia bangga, saya rasa itu perkara paling besar yang boleh saya berikan.
“Saya mahu dedikasikan kemenangan ini kepada ibu kerana menjadi tonggak sokongan dan kekuatan saya,” katanya.
Selain ibunya, Darren turut mendedikasikan kejayaan itu kepada jurulatihnya, M Arul Thevar yang membimbingnya sejak 2018 sehingga berkembang daripada seorang pelari sekolah kepada atlet kebangsaan.
Darren berkata, jasa jurulatihnya cukup besar apabila tidak pernah berputus asa membimbingnya, malah tidak pernah mengenakan sebarang bayaran sepanjang tempoh mereka bekerjasama.
“Beliau tidak pernah berputus asa dengan saya sejak hari pertama. Kalau saya berada di sini hari ini, ia adalah kerana beliau.
“Selama beberapa tahun ini, beliau tidak pernah mengambil satu sen pun daripada saya. Beliau melakukannya kerana minat dan kecintaannya terhadap sukan serta mahu melahirkan atlet,” katanya.
M Arul Thevar merupakan bekas pemegang rekod kebangsaan separuh maraton dan memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan Darren sehingga muncul antara pelari jarak jauh terbaik di pentas SUKIPT.
Bagi Darren, gelaran Olahragawan SUKIPT 2026 bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaiannya di trek, sebaliknya menjadi hadiah buat ibu dan jurulatih yang terus berdiri di belakangnya sepanjang perjalanan sebagai atlet.
