KUALA LUMPUR – UMNO menerima dengan rasa sedih keputusan menangguhkan permohonan pengampunan diraja Datuk Seri Najib Razak, namun menegaskan pendirian parti itu untuk terus menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong serta mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun keputusan berhubung bekas Perdana Menteri itu tidak seperti yang diharapkan, UMNO tetap menghormati proses dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kami bersedih dengan keputusan itu. Walau bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Kami merayu agar segala kebijaksanaan digunakan untuk membuat keputusan yang terbaik.
“Kami tetap menyokong institusi Raja-Raja, kami tetap mendaulatkan Raja-Raja dan kami mengharapkan sesuatu yang terbaik akan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Kenyataan Zahid itu dibuat selepas Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri mengumumkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Keputusan berkenaan dibuat susulan Mesyuarat Ke-63 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Menurut BHEUU, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Bagaimanapun, tarikh mesyuarat seterusnya tidak dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.
Dalam mesyuarat sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan 65 banduan pada 11 September 2026.
BHEUU turut memaklumkan semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas pembebasan.
