PolitikSokongan Melayu cecah 82.4 peratus, Asyraf Wajdi ingatkan UMNO jangan lupa diri

Sokongan Melayu cecah 82.4 peratus, Asyraf Wajdi ingatkan UMNO jangan lupa diri

KUALA LUMPUR – UMNO diingatkan supaya tidak mendabik dada atau leka dengan kemenangan selepas parti itu merekodkan peningkatan ketara sokongan pengundi termasuk dalam kalangan Melayu, Cina, India dan anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan baru-baru ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejayaan tersebut perlu diterjemahkan sebagai amanah untuk terus berkhidmat kepada rakyat, bukannya lesen untuk bersikap sombong.

“Barang diingat, jangan terlalu mendongak ke atas tatkala angin memihak kepada kita. Kerana gelombang yang membawa kita ke atas, boleh juga menghempas kita ke bawah jika kita lupa diri, sombong dan leka.

“Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendabik dada, tetapi amanah berat untuk kita berkhidmat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan jua,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Menurut Asyraf Wajdi, sokongan pengundi Melayu terhadap BN di Johor meningkat daripada 44.9 peratus pada 2022 kepada 82.4 peratus pada PRN 2026.

Di Negeri Sembilan pula, sokongan pengundi Melayu meningkat daripada 45.8 peratus kepada 79 peratus bagi tempoh sama.

Peningkatan turut direkodkan dalam kalangan pengundi Cina apabila sokongan kepada BN di Johor melonjak daripada 9.5 peratus pada 2022 kepada 20 peratus tahun ini, manakala Negeri Sembilan meningkat daripada 8.7 kepada 14 peratus.

Sokongan pengundi India menyaksikan lonjakan lebih besar apabila Johor merekodkan peningkatan daripada 18.9 peratus kepada 54.8 peratus, sementara Negeri Sembilan daripada 17.6 peratus kepada 49.6 peratus.

Asyraf Wajdi berkata, BN turut memenangi semua saluran anak muda Melayu di kedua-dua negeri dengan 78 peratus sokongan direkodkan di Johor dan 79 peratus di Negeri Sembilan.

Dalam masa sama, beliau berkata kerjasama dengan PAS turut menyumbang kepada pencapaian parti, termasuk sokongan undi tentera di Negeri Sembilan yang mencecah 92.47 peratus dengan kemenangan di kesemua lapan saluran berkenaan.

Di Johor, BN pula memenangi kesemua 14 saluran kem tentera dengan 82.1 peratus sokongan.

Asyraf Wajdi menyifatkan keputusan PRN di kedua-dua negeri itu bukan sekadar angka atau statistik, sebaliknya mencerminkan keyakinan rakyat yang kembali kepada perjuangan UMNO dan BN.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan itu tidak datang dengan mudah dan mengingatkan ahli parti supaya kekal merendah diri serta tidak mensia-siakan keyakinan yang diberikan rakyat.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-