GEORGE TOWN – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1448H/2026M atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi negara.
Abdul Rahman, 62, berkata pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin untuk beliau terus memperkukuh agenda pembangunan ilmu dan bakat negara, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurutnya, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi, terutama sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Beliau turut menegaskan bahawa Pulau Pinang sebagai hab utama industri E&E memerlukan bekalan bakat berkemahiran tinggi secara berterusan bagi menyokong lebih 350 syarikat multinasional serta ribuan industri berkaitan yang beroperasi di negeri itu.
“Visi kita ialah memastikan Malaysia terus melahirkan bakat hebat khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi supaya negara mampu bersaing dengan negara seperti Singapura, Taiwan, China dan Korea,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Seri Al-Jazari TVET MARA, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menerima plak, sijil dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.


