GEORGE TOWN – Di sebalik kecemerlangan meraih PNGK 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, 20, hampir mengetepikan impiannya ke universiti kerana berat hati meninggalkan adik-adiknya selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa.
Anak sulung daripada empat beradik itu kehilangan bapanya akibat COVID-19 pada 2021, sebelum ibunya yang menjadi sumber kekuatan keluarga meninggal dunia akibat kanser otak pada 24 Ogos lalu.
Namun, Adam akhirnya memilih untuk menerima tawaran mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian di Universiti Sains Malaysia (USM), sambil menyerahkan urusan keluarganya kepada Allah SWT.
“Saya menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT untuk menjaga mereka dan bertawakal kerana Allah SWT sebaik-baik penjaga.
“Di sinilah mereka diuji, di mana mereka perlu membimbing diri mereka sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita semasa kemasukan pelajar baharu USM bagi Sidang Akademik 2026/2027.
Adam yang berasal dari Kulim, Kedah turut mencatat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum memperoleh PNGK 4.0 dalam STPM.
Adiknya, Nur Alisya Safiya, 17, pula meminta Adam tidak terlalu memikirkan keadaan mereka dan memberikan sepenuh perhatian terhadap pengajiannya.
“Abang belajar elok-elok, jangan fikir pasal kami, kami dah besar dan boleh jaga diri sendiri,” katanya.
Seorang lagi adiknya, Muhd Asyraf Iskandar, 16, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), kini mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran kulinari.
Sementara itu, seorang lagi adik mereka sedang berada di Kuala Lumpur di bawah jagaan ibu saudara bagi menjalani pemeriksaan susulan selepas dikhuatiri mempunyai risiko penyakit genetik berkaitan kanser seperti arwah ibu mereka.
Adam merupakan penerima Program Siswa SULUNG 4.0 yang memberinya peluang meneruskan pengajian di USM meskipun berdepan ujian besar dalam keluarga.
