GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta kejutan besar dalam penarafan akademik dunia apabila melonjak 149 anak tangga untuk muncul sebagai universiti nombor satu di Malaysia menerusi Academic Ranking of World Universities (ARWU) 2026.
Dalam penarafan yang turut dikenali sebagai ShanghaiRanking itu, USM berada di kedudukan ke-581 dunia, berbanding tempat ke-730 pada tahun lalu, sekali gus memperbaiki kedudukan nasional daripada tempat ketiga pada 2025 kepada tempat pertama tahun ini.
Lonjakan berkenaan dilihat signifikan kerana ARWU memberi penekanan kepada pencapaian akademik dan kekuatan penyelidikan, termasuk pengaruh penyelidik serta penerbitan berimpak tinggi, bukannya semata-mata reputasi atau persepsi terhadap sesebuah universiti.
Menurut USM, penilaian ARWU menggunakan enam indikator objektif antaranya pencapaian alumni dan staf yang memenangi Hadiah Nobel serta Fields Medal, jumlah Highly Cited Researchers (HiCi), penerbitan dalam jurnal Naturedan Science, penerbitan yang diindeks dalam Science Citation Index-Expanded (SCIE) serta Social Sciences Citation Index (SSCI) dan prestasi akademik per kapita institusi.
“Antara indikator digunakan ialah alumni dan staf memenangi Hadiah Nobel serta Fields Medal, jumlah Highly Cited Researchers (HiCi) diiktiraf Clarivate, penerbitan dalam jurnal Nature dan Science, penerbitan yang diindeks dalam Science Citation Index-Expanded (SCIE) dan Social Sciences Citation Index (SSCI), selain prestasi akademik per kapita institusi,” menurut kenyataan USM.
Lebih menarik, USM turut merekodkan prestasi kukuh dalam indikator Publication (PUB) apabila berada di kedudukan ke-424 dunia, manakala indikator HiCi menyaksikan USM berada di tempat ke-503 dunia.
Menurut USM, peningkatan dalam indikator HiCi mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar pertambahan jumlah penerbitan kerana ia mencerminkan sejauh mana hasil penyelidikan universiti dirujuk dan memberi pengaruh terhadap perkembangan ilmu di peringkat antarabangsa.
“30 peratus daripada keseluruhan penilaian ARWU berkaitan pemenang Hadiah Nobel dan Fields Medal manakala 20 peratus lagi diberikan kepada HiCi,” menurut kenyataan itu.
“Ini bermakna separuh daripada penilaian ARWU berkait secara langsung dengan pencapaian akademik bertaraf dunia dan penyelidik yang mempunyai pengaruh sitasi sangat tinggi,” katanya.
ARWU menilai lebih 2,500 universiti di seluruh dunia setiap tahun, namun hanya 1,000 institusi terbaik diterbitkan dalam senarai ranking berkenaan.
Dengan lonjakan 149 kedudukan dalam tempoh setahun, pencapaian USM bukan sahaja mengangkat kedudukan universiti berkenaan dalam negara, malah memperlihatkan peningkatan pengaruh penyelidikan dan akademiknya di pentas antarabangsa.
Kejayaan itu turut memperkukuh kedudukan USM sebagai antara institusi pengajian tinggi Malaysia yang mempunyai ekosistem penyelidikan kukuh, selain mengukuhkan usaha universiti dalam menghasilkan penyelidikan yang semakin berpengaruh di peringkat global.

