PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal bebas daripada keempat-empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini melepaskan dan membebaskannya.
Keputusan itu dicapai menerusi penghakiman majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dengan keputusan tersebut, rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula sabitan serta hukuman yang pernah dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap Syed Saddiq ditolak.
Keputusan itu sekali gus mengakhiri proses rayuan di peringkat tertinggi mahkamah negara, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu.
Ketika menyampaikan keputusan, mahkamah memutuskan keputusan Mahkamah Rayuan adalah kekal, sekali gus menamatkan prosiding rayuan yang difailkan pihak pendakwaan.
Berita selanjutnya menyusul.

