Isnin, 13 Julai 2026
spot_img
MahkamahNasib Syed Saddiq diketahui hari ini

Nasib Syed Saddiq diketahui hari ini

PUTRAJAYA – Penantian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetahui nasibnya berhubung kes membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berakhir hari ini apabila Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya.

Keputusan itu bakal menentukan sama ada Syed Saddiq, 33, kekal dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan atau sabitan serta hukuman yang pernah dijatuhkan Mahkamah Tinggi dikembalikan semula.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menyampaikan keputusan selepas sebelum ini mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Pada prosiding terdahulu, Abu Bakar menjelaskan keputusan yang sepatutnya diumumkan pada 30 Jun lalu terpaksa ditangguhkan berikutan salah seorang anggota panel, Che Mohd. Ruzima, bercuti sakit.

“Kami sebenarnya sudah bersedia dengan keputusan, tetapi malangnya perkara yang tidak diduga ini berlaku hari ini.

“Kami bersedia untuk menyampaikan keputusan pada 13 Julai ini. Tidak wajar bagi kami menyampaikan keputusan tanpa kehadiran salah seorang ahli panel,” katanya ketika prosiding terdahulu.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan itu difailkan pihak pendakwaan yang mengemukakan 28 alasan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu yang membenarkan rayuan Syed Saddiq serta mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan sebelum ini secara sebulat suara melepaskan dan membebaskan bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu daripada semua pertuduhan selepas membenarkan rayuannya.

Keputusan itu sekali gus membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dalam prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Syed Saddiq berdepan satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana Armada berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan menyalahgunakan harta sebanyak RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan wang RM50,000 bagi setiap transaksi ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Keputusan yang diumumkan hari ini dijangka menjadi penamat kepada satu lagi episod penting dalam perjalanan kes berprofil tinggi yang menjadi perhatian umum sejak beberapa tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-