Sabtu, 12 Julai 2025
UTAMAGAYA HIDUP“Content evergreen lebih bermakna daripada sekadar viral” – Iman Kamil

“Content evergreen lebih bermakna daripada sekadar viral” – Iman Kamil

- Advertisement -

SHAH ALAM – “Kalau dulu mereka beri sesuatu kepada saya, sekarang tiba masa saya beri semula kepada mereka,” demikian luahan penuh makna daripada pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan automotif sepenuh masa, Iman Kamil, yang kini tampil memberi inspirasi kepada pelajar dan tenaga pengajar melalui dunia digital.

Iman, 29, yang aktif menghasilkan kandungan di platform seperti YouTube, Instagram dan TikTok, berkata beliau berasa bangga kerana dapat menyumbang kembali kepada institusi dan individu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanannya.

“Apa yang korang nampak dalam video itulah sebenarnya saya. Tak ada team, tak ada crew. Semuanya saya urus sendiri,” jelas Iman ketika ditemui MYBERITA di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, pada Rabu.

Menurutnya, membina jenama peribadi dalam dunia digital menuntut komitmen tinggi kerana beliau menguruskan segala-galanya secara bersendirian daripada rakaman, penyuntingan, hinggalah pengurusan pelanggan.

Mengulas mengenai perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam industri kandungan digital, Iman mengakui ia merupakan alat sokongan yang baik, namun masih belum mampu menandingi sentuhan peribadi dan keaslian manusia, terutama dalam penghasilan video berkaitan dunia automotif.

“AI boleh cuba tiru, tapi dia tak boleh tiru 100%. Content kereta atau content manusia, dia ada jiwa. Itu tak boleh diganti,” tegasnya.

Beliau juga menasihati pencipta kandungan muda agar tidak terperangkap dalam budaya mengejar populariti sementara. Menurut Iman, kandungan yang bersifat ‘evergreen’ atau kekal relevan dalam jangka panjang lebih berkesan memberi impak positif kepada masyarakat.

“Lebih baik kita cipta konten yang evergreen. Yang boleh bantu generasi demi generasi,” katanya lagi.

Meskipun terkenal dengan personaliti ceria dan petah berbicara dalam videonya, Iman mendedahkan dirinya merupakan seorang yang pendiam dan bersifat introvert di luar kamera. Demi menarik perhatian penonton, beliau membentuk satu watak khas yang lebih energetik di hadapan lensa.

“Kalau saya jadi diri saya yang sebenar dalam video, takkan dapat tarik perhatian. Jadi saya cipta satu karakter hyper dan banyak cakap untuk depan kamera,” jelasnya.

Berkongsi sedikit sisi peribadi, Iman yang telah mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu berkata, beliau dan isterinya masih belum merancang untuk menimang cahaya mata kerana ingin memberikan fokus kepada kerjaya serta masa berkualiti bersama.

Tambahnya, Iman menyuarakan aspirasi untuk memiliki studio kandungan sendiri suatu hari nanti, selain menyarankan agar Malaysia mewujudkan lebih banyak platform dan acara khas buat pencipta kandungan tempatan.

“Kita tak ada lagi satu platform atau event khas untuk content creator tempatan. Maybe kita boleh wujudkan, macam YouTube punya event di luar negara, tapi versi Malaysia,” katanya penuh harapan.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN