PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau bersama delegasi Malaysia telah selamat tiba di Rom, Itali, hari ini bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari.
Menurut Anwar, kunjungan itu dilakukan atas jemputan rasmi rakan sejawatnya, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
“Jemputan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Itali berteraskan prinsip serta semangat persahabatan, keyakinan dan saling hormat,” katanya dalam kenyataan di laman X, hari ini.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia melihat Itali sebagai rakan strategik penting di benua Eropah, dan negara ini komited untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan serta sektor peralihan tenaga.
Tambah beliau, selaku Pengerusi ASEAN, lawatan itu juga membawa nilai tambah dalam memperkukuh hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah di tengah-tengah landskap geopolitik dan geoekonomi yang semakin mencabar.
“Saya yakin lawatan ini akan membuka lembaran baharu yang lebih dinamik, menghasilkan manfaat yang konkrit serta melonjak hubungan Malaysia dan Itali ke tingkat yang cemerlang dan terbaik,” katanya.