KUALA LUMPUR – Kebolehan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di Perlis mengendalikan siaran langsung Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2026 mencuri perhatian ramai apabila hasil produksi mereka disifatkan setaraf stesen televisyen profesional.
Menerusi perkongsian di platform Threads oleh pengguna Fat_deadpoool, inisiatif pihak sekolah serta kemahiran pelajar terbabit dalam mengurus keseluruhan operasi penyiaran mendapat pujian kerana menunjukkan tahap kecekapan yang luar biasa bagi peringkat sekolah.
View on Threads
“Saya kagum sebab sekolah ini ada kelengkapan sendiri. Tempat kerja pun belum tentu sanggup sediakan macam ini. Tahniah kepada pelajar, guru dan ibu bapa,” katanya.
Berdasarkan rakaman yang dikongsikan, kira-kira 90 peratus proses siaran langsung kejohanan itu dikendalikan sendiri oleh pelajar, termasuk penggunaan peralatan seperti video switcher, kamera utama, komputer riba serta tugasan sebagai pengulas perlawanan.
Lebih menarik, hasil suntingan dan kualiti siaran yang dipaparkan turut menerima pujian ramai pengguna media sosial yang menyifatkannya seolah-olah produksi televisyen profesional.
“Soft skills macam ini memang sangat berharga. Cikgu yang buat inisiatif ini patut diberi pengiktirafan,” kata pengguna Samsy.ak.
Seorang lagi pengguna, Afdsyimir, berkata pendedahan awal seperti itu mampu memberi kelebihan besar kepada pelajar dalam jangka panjang.
“Bila dari sekolah lagi dah didedahkan dengan pengalaman macam ini, mereka akan lebih bersedia bila masuk alam pekerjaan nanti,” ujarnya.


