KUALA LUMPUR – Pegawai media yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terselamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran Maran, Pahang, ketika dalam perjalanan pulang daripada tugasan rasmi lewat malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ahmad Zahid menerusi satu ciapan di media sosial pada Jumaat, sambil menzahirkan rasa syukur apabila semua mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Alhamdulillah, mereka semua selamat dan tidak mengalami kecederaan serius. Syukur ke hadrat Allah SWT atas perlindungan dan rahmat-Nya,” katanya.
Menurut beliau, kemalangan tersebut berlaku selepas pegawai medianya selesai menghadiri Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 bersama beliau.
Ahmad Zahid turut menggunakan kesempatan itu untuk mengingatkan orang ramai, khususnya mereka yang sering bertugas di lapangan dan melakukan perjalanan jauh, agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu.
“Kepada semua yang sedang bertugas, jagalah diri sebaiknya. Rehat secukupnya, pandu kenderaan dengan berhati-hati dan sentiasalah mengutamakan keselamatan walau sesibuk mana sekalipun,” ujarnya.
Dalam ciapan sama, beliau turut mendoakan agar semua urusan rakyat dipermudahkan, dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.
Beliau juga berharap semua individu yang terlibat dalam kemalangan berkenaan dapat pulih sepenuhnya dan terus diberikan keselamatan walau di mana mereka berada.


