Isnin, Jun 22, 2026
spot_img
HomeGaya HidupA. Aida atur langkah baharu Azeva dalam industri muzik

A. Aida atur langkah baharu Azeva dalam industri muzik

SHAH ALAM – Penerbit dan pengurus artis, Datuk A. Aida menetapkan hala tuju jelas terhadap kerjaya seni anaknya, Azeva apabila memilih untuk memberi fokus penuh kepada bidang nyanyian berbanding lakonan selepas berakhirnya program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).

Menurut A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 56, keputusan itu dibuat bagi memastikan jadual kerjaya Azeva lebih teratur selain memberi ruang kepada kehidupan peribadi yang lebih seimbang.

“Saya memang minta dia fokus kepada nyanyian sebab berlakon saya kurang sarankan. Kalau berlakon drama bersiri 26 episod, tiga bulan kena ‘berkampung’ di set (penggambaran),” katanya ketika ditemui media selepas konsert akhir TTMM2 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.

Tambahnya, kerjaya nyanyian dilihat lebih fleksibel kerana tidak memerlukan komitmen penggambaran yang panjang.

“Masa untuk diri sendiri dan keluarga pun tiada. Tetapi kalau menyanyi (buat persembahan), pergi dua jam sahaja sudah boleh balik. Cuma jika terbabit dalam projek filem saya bagi keizinan sebab itu skrin besar selain peluangnya juga berbeza,” jelasnya.

Dalam masa sama, A. Aida tidak melihat kedudukan Azeva di tempat keempat sebagai sesuatu yang mengecewakan, sebaliknya berbangga kerana anaknya berjaya melangkah ke pentas akhir.

“Alhamdulillah, sebagai ibu merangkap pengurus apa-apa keputusan pun saya tetap berbangga dengan pencapaian Azeva yang mampu mara dan melangkah ke malam kemuncak ini. Saya memang tak mengharapkan juara atau apa-apa nombor,” katanya.

Beliau turut menyifatkan saingan final TTMM2 sebagai sangat sengit dengan setiap peserta mempunyai kekuatan tersendiri termasuk peserta cilik, Anggrek yang dinobatkan juara.

“Bagi saya anak Adira ini sangat istimewa. Bila dia naik pentas, kita orang tua pun boleh terpegun. Cik B pula sentiasa tampil dengan idea persembahan yang hebat, manakala Hussain memiliki vokal mantap,” katanya merujuk kepada Adira Suhaimi, Cik B dan Hussain.

Sementara itu, Azeva menerima keputusan tersebut dengan terbuka dan mengakui tidak meletakkan harapan untuk bergelar juara.

“Saya sendiri cakap tak nak jadi juara. Saya nampak usaha finalis lain termasuk Anggrek, Cik B, Hussain serta rakan lain 10 kali ganda lebih banyak berbanding saya,” katanya.

Tambahnya lagi, dia lebih menghargai usaha dan dedikasi peserta lain sepanjang pertandingan berlangsung.

“Anggrek pagi, petang, siang dan malam berlatih. Cik B pula sentiasa memikirkan konsep setiap idea persembahan dari A sampai Z. Saya memang nak mereka menang sebab mereka memang layak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, A. Aida memaklumkan Azeva akan merakamkan single baharu berjudul Sejiwa minggu depan selain beberapa projek lain termasuk lagu duet bersama penyanyi, Zaki Yamani.

“Banyak projek untuk Azeva bakal direalisasikan selepas ini. Bagi saya, penyertaan dalam TTMM2 menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan Azeva kepada khalayak,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Vida bersama anaknya Cik B meraih tempat ketiga, manakala Hussain muncul naib juara dalam pertandingan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine