GEORGE TOWN – Kira-kira 60 program dan aktiviti dianjurkan sepanjang Jun sempena Bulan Kelestarian Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 dalam usaha memperkukuh budaya lestari serta menggalakkan penglibatan aktif warga kampus dan masyarakat terhadap agenda pembangunan mampan.
Penyelaras Kampus Sejahtera USM, Ahmad Wafi Sahedan berkata, penganjuran pelbagai program itu membuktikan usaha membudayakan kelestarian memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak dan tidak boleh digerakkan secara bersendirian.
“Kita mahu menjadikan amalan lestari sebagai sebahagian daripada gaya hidup warga kampus dan bukan sekadar program bermusim.
“Penganjuran kira-kira 60 program ini membuktikan bahawa usaha membudayakan kelestarian memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Bulan Kelestarian USM 2026 yang berlangsung sepanjang bulan ini dengan pelbagai pengisian berteraskan pendidikan, kesihatan, alam sekitar, inovasi dan penglibatan komuniti.
Sementara itu, majlis pelancaran Bulan Kelestarian USM 2026 dan Sustainability Future Initiatives Exhibition (SUFIEX 4.0) baru-baru ini juga telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di Dewan Utama Desasiswa, USM Induk.
Menurut Abdul Rahman, kelestarian kini menjadi tanggungjawab bersama yang perlu diterjemahkan melalui tindakan serta amalan harian oleh setiap individu.
“Kelestarian bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama yang perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan harian.
“Saya amat berbangga melihat kesungguhan warga USM dalam menggerakkan agenda ini melalui pendekatan yang inklusif, inovatif dan berimpak tinggi,” katanya.
Penganjuran selama sebulan itu diterajui Sekretariat Kampus Sejahtera USM dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pusat Racun Negara (PRN), Pusat Tanggungjawab (PTJ) USM serta pelbagai pertubuhan pelajar.

Antara program yang telah dan sedang berlangsung ialah Sustainability Talk Series, World Bicycle Day, Brisk Walk: ‘Breath Clean, Walk Free’, EcoRush: Race for Sustainability, Sustainability Street, Penang Trash Free Hill 2026, Greenstrike 5.0: Brisk Walk & Plogging, Kempen No Tobacco No Vape, Kempen Bring Your Own Bag (BYOB), program pengurangan sisa dan kitar semula serta pelbagai pertandingan kreatif.
Sementara itu, Yang Dipertua Sekretariat Kampus Sejahtera USM, Muhammad Kamarul Aiman Kamarul Azman berkata, Bulan Kelestarian USM 2026 dan SUFIEX 4.0 bukan sekadar menghimpunkan pelbagai aktiviti, malah menjadi platform membina kefahaman serta menggalakkan tindakan kolektif terhadap isu kelestarian.
“Kami berharap pengisian sepanjang bulan ini dapat melahirkan komuniti kampus yang lebih prihatin terhadap alam sekitar, lebih bertanggungjawab dalam penggunaan sumber dan terus komited menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs),” katanya.
Beliau berkata, pendekatan kolaboratif yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam menjayakan program tersebut mencerminkan komitmen USM untuk menjadikan kelestarian sebagai agenda bersama yang memberi manfaat kepada kampus dan masyarakat.


