Isnin, Jun 22, 2026
spot_img
HomeNasionalTiga pasangan kembar, tujuh pelajar OKU curi perhatian semasa pendaftaran pelajar baharu...

Tiga pasangan kembar, tujuh pelajar OKU curi perhatian semasa pendaftaran pelajar baharu PUO

IPOH – Kegembiraan memulakan kehidupan sebagai mahasiswa baharu di Politeknik Ungku Omar (PUO) dikongsi bersama tiga pasangan kembar dan tujuh pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang mencuri perhatian ketika sesi pendaftaran 2,182 pelajar baharu bagi Sesi I: 2026/2027, baru-baru ini.

Kehadiran mereka mewarnai suasana pendaftaran sekali gus mencerminkan kepelbagaian latar belakang pelajar yang memilih institusi TVET berkenaan sebagai destinasi pengajian tinggi.

Pengarah PUO, Dr. Hajah Salmi Che Meh, berkata kemasukan seramai 2,182 pelajar baharu membuktikan keyakinan masyarakat terhadap peranan PUO dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri semasa.

“Selamat datang ke PUO, Home of TVET Champions. Kami berbangga menerima kehadiran 2,182 pelajar baharu yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga besar PUO. Gunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu, membina sahsiah serta mengembangkan potensi diri agar menjadi graduan yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” katanya.

Selain itu, tujuh pelajar OKU turut memulakan perjalanan akademik mereka di PUO bersama tiga pasangan kembar yang mendaftar bagi sesi kemasukan kali ini ialah Nur Fatin Shazana Mohd Fadzil dan Muhammad Aqil Taqiuddin Mohd Fadzil dari Manong, Perak; Varshaan A/L Rames dan Varmhan A/L Rames dari Taiping, Perak; serta Sharacaniswarran A/L Balu dan Shanmugiswaran A/L Balu dari Rawang, Selangor.

Bagi sesi kemasukan 2026/2027, pelajar baharu akan mengikuti pengajian dalam 18 program yang ditawarkan merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan, kewangan, seni bina, geomatik dan perkapalan.

Menurut Salmi, PUO bukan sahaja memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, malah turut menyediakan pelbagai platform pembangunan sahsiah, kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi dan keusahawanan bagi melahirkan graduan yang seimbang dari segi kemahiran teknikal serta insaniah.

Beliau berkata kepelbagaian pelajar yang mendaftar pada sesi kali ini membuktikan pendidikan TVET semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan terus menjadi pilihan untuk membina masa depan yang lebih cerah.

PUO yang ditubuhkan pada 1969 merupakan politeknik pertama di Malaysia dan kini berstatus Politeknik Premier serta APEX Polytechnic. Institusi yang dikenali sebagai Home of TVET Champions itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju pendidikan TVET negara melalui pelbagai pencapaian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine