Isnin, Jun 22, 2026
spot_img
HomePolitikPRN Johor: Bersatu sedia guna logo sendiri jika PN gagal capai kata...

PRN Johor: Bersatu sedia guna logo sendiri jika PN gagal capai kata sepakat

MUAR – Bersatu sedia guna logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya Perikatan Nasional (PN) gagal mencapai kata sepakat berhubung penggunaan satu lambang gabungan, sekali gus menandakan ruang autonomi lebih besar dalam rundingan pembahagian kerusi.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu akan dimuktamadkan menerusi konsensus dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, sekiranya cadangan menggunakan logo PN tidak dipersetujui, Bersatu tetap akan bergerak atas kekuatan sendiri tanpa dianggap sebagai kelemahan.

“Kata lah dia tak sign, pastikan calon yang kita dah pilih ini gunakan logo Bersatu. Maknanya Bersatu tetap akan bertanding,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bersatu sempena PRN Johor ke-16 di Bakri malam tadi.

Muhyiddin turut menyentuh aspek rundingan politik bersama rakan komponen dalam PN termasuk berkaitan pembahagian 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, yang menurutnya masih terbuka untuk perbincangan.

Beliau turut merujuk Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam konteks persetujuan penggunaan lambang gabungan itu.

Majlis pelancaran jentera berkenaan turut dihadiri lebih 2,000 penyokong serta barisan kepimpinan utama parti termasuk Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Md Jidin, Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Pengerusi Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Dalam masa sama, Muhyiddin menegaskan isu calon tidak sepatutnya menjadi perdebatan dalam kalangan penyokong parti sebaliknya perlu menerima keputusan pucuk pimpinan.

“Saya nak 100 peratus mereka yang dilantik disokong… bila sudah diumumkan maka sesiapa sahaja jadi ahli dan pemimpin Bersatu hendaklah wajiblah menerima,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine