KOTA BHARU – Dianggarkan lebih dua juta kenderaan dijangka memasuki Kelantan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Sabtu ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, jumlah itu dijangka melebihi bilangan kenderaan yang memasuki negeri ini semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Sebanyak lebih dua juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena Hari Raya Aidiladha kerana perayaan tersebut juga jatuh pada musim cuti persekolahan.
“Orang Kelantan kebiasaannya akan pulang dan melaksanakan ibadah korban di sini.
“Keadaan itu pasti menyebabkan kesesakan lalu lintas di kebanyakan kawasan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Townhall Ketua Polis Kelantan, Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa hari ini.
Mohd. Yusoff turut memaklumkan, kawasan titik panas kemalangan sempena Aidiladha kali ini adalah sama seperti yang dikenal pasti dalam Ops Selamat sempena Aidilfitri lalu.