RTM mohon maaf gangguan RTMKlik
Gangguan tersebut menyebabkan sebahagian pengguna gagal menonton siaran langsung dengan lancar, sekali gus mencetuskan rungutan dalam kalangan penonton yang mengikuti kejohanan berprestij itu melalui platform digital RTM.
KUALA LUMPUR – Jutaan peminat bola sepak yang menantikan aksi separuh masa pertama perlawanan antara Perancis dan Senegal pada pukul 3 pagi tadi berdepan detik mengecewakan apabila platform penstriman RTMKlik mengalami gangguan teknikal secara tiba-tiba.
Gangguan tersebut menyebabkan sebahagian pengguna gagal menonton siaran langsung dengan lancar, sekali gus mencetuskan rungutan dalam kalangan penonton yang mengikuti kejohanan berprestij itu melalui platform digital RTM.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam satu kenyataan memohon maaf atas insiden berkenaan dan menjelaskan bahawa tindakan pemulihan telah segera diambil bersama pihak penyedia teknologi.
“Pasukan teknikal RTM bersama pihak penyedia teknologi telah mengambil tindakan segera bagi memulihkan perkhidmatan tersebut dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu hari ini.
RTM turut mengakui kekecewaan peminat yang terjejas akibat gangguan tersebut, khususnya ketika perlawanan sedang berlangsung.
“RTM amat memahami kekecewaan para peminat sukan bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, RTM menegaskan komitmen untuk memperkukuh sistem penyiaran digital bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, terutama ketika penyiaran kejohanan utama dunia.
Sebagai penyiar rasmi, RTM juga memberi jaminan usaha penambahbaikan berterusan sedang dilaksanakan bagi melancarkan keseluruhan siaran Piala Dunia FIFA 2026 yang melibatkan 104 perlawanan, termasuk 94 siaran langsung dan 10 siaran tertunda.
“RTM sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan,” ujarnya.






