KUALA LUMPUR – Lagu raya Baharu, Oh Raya Lagi, hasil kolaborasi empat penyanyi iaitu Afif, Pali, Meor dan Aieman Hamdan kini menjadi perhatian ramai.
Lagu yang dihasilkan dalam masa singkat ini menampilkan gabungan unik antara genre Borea Modern yang diilhamkan oleh dua composer berbakat, Klana Akira dan elemen pop daripada Syafiq Wahid.
Menurut salah seorang penyanyinya, Afif, proses menghasilkan lagu ini bukanlah mudah kerana kesibukan masing-masing dengan pekerjaan hakiki.
“Pengalaman ini sangat berharga sebab kami semua ada komitmen sendiri. Jadi, pengurusan masa dan disiplin sangat penting untuk memastikan lagu ini dapat disiapkan,” katanya.
Cabaran utama dalam penghasilan Oh Raya Lagi ialah mencari keserasian di kalangan mereka. Pali menjelaskan bahawa mereka terpaksa menjalani latihan bersama setiap malam seminggu sebelum sesi rakaman bagi membina chemistry yang kuat.
“Masing-masing ada jadual kerja yang berbeza, jadi bila ada peluang, kami manfaatkan sepenuhnya,” tambahnya.
Salah seorang ahli kumpulan, Aieman Hamdan, dikenali sebagai yang paling tidak serius ketika bekerja, walau bagaimanapun, rakan-rakannya mengakui bahawa personalitinya yang ceria membantu menceriakan suasana.
“Kadang-kadang tak terlayan, kadang-kadang terjoin juga dengan perangai dia. Tapi dalam masa yang sama, kami tetap fokus dengan objektif utama iaitu menyiapkan lagu,” jelas Afif sambil disokong oleh Meor yang menyifatkan Aieman sebagai penguat semangat kumpulan mereka.
Di bawah label baharu, CATS Studios, mereka melihat persaingan dalam industri muzik secara sihat.
“Kami tidak melihat ini sebagai satu saingan yang negatif, sebaliknya kami ingin bersaing secara sihat dengan yang lain,” ujar Afif.
Meor turut menambah bahawa tujuan utama mereka adalah untuk menghiburkan orang ramai tanpa meletakkan jangkaan terlalu tinggi.
Bagi peminat muzik tanah air, Oh Raya Lagi kini boleh didengari di YouTube CATS Studios dan pelbagai platform digital.

