SHAH ALAM – Peserta Big Stage Alpha, Que, menjadi peserta seterusnya yang tersingkir dalam konsert minggu keempat malam tadi selepas menyampaikan lagu Satu Peluang nyanyian asal Andi Bernadee.
Pemergian Que nyata mengejutkan ramai, apatah lagi beliau dikenali sebagai salah seorang ahli kumpulan yang banyak menyumbang idea serta tenaga sepanjang pertandingan berlangsung.
Ketika ditemui selepas tersingkir, Que meluahkan rasa sedih dan kecewa atas keputusan malam tadi.
“Saya sebenarnya, untuk performance minggu ni… saya nak cakap saya tak bagus, tak juga. Saya nak cakap saya bagus pun tak juga. Tapi kalau bagi saya lah, sebab saya bekerja dalam kumpulan, jadi saya rasa saya patut diberi peluang sebenarnya,” katanya dengan nada sebak.
Menurut Que, hubungan rapat bersama ahli kumpulannya menjadikan penyingkiran ini lebih perit untuk diterima.
“Ketiadaan saya akan buat kumpulan tu kosong. Cikgu vokal saya pun ada cakap perkara yang sama. Saya rasa terlalu awal untuk saya tinggalkan pentas ni.”
Que turut berkongsi visinya yang belum sempat direalisasikan yang mana ingin ke Korea.
“Saya dah bayangkan, saya boleh bantu kawan-kawan saya sampai ke Korea. Saya tak kisah berada di belakang pun, asalkan mereka berjaya. Tapi bila saya tak diberi peluang tu, saya rasa macam, takkan sampai sini saja perjalanan saya.”
Dalam keadaan masih terkejut dengan penyingkiran, Que akui dirinya belum mempunyai perancangan jelas selepas ini.
“Sekarang saya bingung sangat. Tapi bila dah tenang, saya akan rujuk semula dengan pihak produksi dan Rocketfuel. Ada yang dijanjikan kepada saya sebelum ini, jadi saya akan lihat semula perjalanan saya selepas ini.”
Que berharap agar peminat dan pihak industri terus mempercayai bakatnya.
“Saya harap orang di luar sana masih boleh percayakan saya dan bakat yang saya ada.”
Konsert Big Stage Alpha minggu kelima akan kembali Ahad ini dengan persaingan yang dijangka semakin sengit.

