KUANTAN – Aksi seekor babi hutan yang tiba-tiba muncul dan berkeliaran di kawasan Taman Bandar di sini mencetuskan kekecohan dalam kalangan orang awam, apabila haiwan liar itu dilihat berlari tanpa arah sekali gus mencemaskan pengunjung taman berkenaan.
Menerusi satu klip video berdurasi 27 saat yang dikongsikan di laman TikTok milik pengguna Mama Khalish, kelihatan beberapa individu termasuk kanak-kanak berlari lintang-pukang mengelak daripada disondol haiwan berkenaan.
“Taman Bandar diserang babi besar. Bahaya betul, nasib baik tak ada yang kena sondol,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Insiden itu dipercayai berlaku awal pagi tadi ketika orang ramai sedang bersenam dan beriadah.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan gelagat individu dalam video berkenaan yang menjerit memberi amaran dengan spontan kepada orang sekeliling.
“Sumpah aku tergelak budak tu cakap ‘ada babi’ hahaha,” komen seorang pengguna bernama Gee.
“Lawaklah ‘lari, ada babi’… dah satu hal mengekek pagi buta ni,” seloroh seorang lagi netizen.
Sementara itu, seorang pengguna lain turut berkongsi pengalaman lucu ketika cuba mendidik anaknya agar tidak menyebut perkataan yang dianggap kasar itu.
“Mak keliru nak marah ke tak… pesan dekat anak jangan sebut babi, tak baik. Masalahnya babi ada depan mata, kena kejar pula tu. Terpaksa kena sebut jugalah,” tulis Aizurin berseloroh.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan, dan pihak berkuasa tempatan diminta untuk melakukan pemantauan agar kejadian serupa tidak berulang demi keselamatan pengunjung taman.

