KLANG – Suasana cemas berlaku di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini petang tadi susulan kebakaran kecil yang melibatkan suis soket di wad Zon Merah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.13 petang.
Menurut beliau, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat.
“Jentera tiba seminit kemudian pada jam 5.14 petang dan mendapati kebakaran telah dipadamkan oleh pihak hospital sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada suis soket di wad berkenaan dan hanya menyebabkan kemusnahan kecil, iaitu kira-kira satu peratus daripada kawasan terjejas.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan, manakala operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Yuszi Abdullah.
Katanya, kawasan terjejas telah diperiksa dan disahkan selamat sepenuhnya sebelum pasukan bomba beredar dari lokasi kejadian.
Tambah beliau, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan detik cemas ketika beberapa pesakit dipindahkan keluar dari Zon Merah, manakala kakitangan perubatan dilihat bertindak pantas memastikan keselamatan semua pihak terjamin.
