BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan bahawa kerajaan Israel telah meluluskan rancangan untuk mengambil alih Bandar Gaza, selepas mesyuarat Kabinet Keselamatan yang berlangsung selama beberapa jam awal pagi Jumaat di Baitulmaqdis.
Menurut kenyataan rasmi pejabat Netanyahu, Kabinet Keselamatan Israel telah meluluskan pelan tersebut menerusi undian majoriti, dengan menyatakan lima prinsip utama untuk menamatkan konflik berterusan dengan Hamas di Semenanjung Gaza.
“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan membuat persiapan untuk mengambil alih Bandar Gaza sambil memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk awam di luar zon pertempuran,” menurut kenyataan tersebut.
Lima prinsip yang diumumkan dalam pelan penamatan perang itu adalah pelucutan senjata Hamas, pemulangan semua tebusan sama ada hidup atau mati, penyahmiliteran seluruh Semenanjung Gaza, kawalan keselamatan oleh Israel ke atas Gaza dan penubuhan kerajaan awam alternatif yang bukan daripada Hamas atau Pihak Berkuasa Palestin.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa majoriti besar menteri kabinet menolak cadangan alternatif yang dibentangkan, dengan alasan ia tidak mampu menewaskan Hamas mahupun menjamin kepulangan tebusan yang diculik.
Langkah terbaru ini dijangka mencetuskan reaksi antarabangsa dan kebimbangan kemanusiaan, terutamanya berkaitan nasib penduduk awam yang terperangkap di kawasan konflik serta masa depan politik Gaza pasca-perang.

