KOTA KINABALU – Peguam, Shahlan Jufri menegaskan proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir berjalan lancar tanpa sebarang gangguan atau campur tangan pihak luar.
Shahlan yang hadir menyaksikan prosedur itu atas permintaan keluarga arwah berkata, beliau berada di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) dari jam 11 pagi hingga 7.30 malam semalam bagi memerhati setiap peringkat pemeriksaan.
“Saya boleh sahkan perjalanan post-mortem sangat baik. Tidak ada unsur seperti yang tular di media sosial kononnya ada ‘tangan-tangan’ tertentu. Semua itu tidak benar.
“Saya sendiri melihat bagaimana arwah Zara diperiksa secara menyeluruh oleh pasukan forensik. Di dalam bilik bedah, hanya saya dan pasukan forensik berada bersama, mengikut kehendak keluarga arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan HQE, malam tadi.
Menurut beliau, proses itu dijalankan oleh empat pakar termasuk Pakar Perunding Patologi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun, dibantu jurufoto forensik dan polis.
Shahlan memaklumkan, laporan bedah siasat akan disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan pihak berkuasa, namun proses itu mungkin mengambil masa sehingga dua bulan.
Terdahulu, jenazah pelajar berusia 13 tahun itu dibawa ke HQE pada jam 10.30 malam Sabtu selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, sekitar 7.31 malam hari sama.
Sebelum itu, kubur Allahyarham Zara digali semula atas perintah Majistret Zuraini Ali Musa melalui prosiding secara aplikasi Zoom yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.
Allahyarham Zara sebelum ini dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, pada 16 Julai.

