SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa dengan kelemahan sistem perolehan aset ketenteraan negara yang disifatkan sebagai tidak sepadan dengan jumlah perbelanjaan besar yang telah dikeluarkan sejak sekian lama.
Beliau berkata, kelewatan projek utama seperti pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bukan sahaja mencalar imej negara, malah menjadi bahan ejekan masyarakat serta mengundang persepsi negatif di peringkat antarabangsa.
“Setiap kali kita adakan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA), saya berasa cukup tersinggung. Kita menerima tabik hormat daripada tentera pelbagai negara, namun aset baharu kita masih gagal diperoleh. Akhirnya kapal lama juga yang dipamerkan,” katanya ketika merasmikan Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Mildef International Technologies Sdn Bhd, di Sendayan, pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar menegaskan, isu kelewatan dan ketirisan dalam perolehan pertahanan perlu dihentikan segera dengan melaksanakan reformasi menyeluruh yang berlandaskan ketelusan dan kepakaran teknikal.
“Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan budaya bobrok. Tentera kita berdiri gagah untuk mempertahankan negara, tetapi sistem perolehan ada yang menjadi lubuk keuntungan kepada pihak tertentu. Itu satu bentuk pengkhianatan,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan berhubung pembabitan anggota badan risikan tentera dalam kegiatan penyeludupan.
“Saya tidak dapat menerima hakikat bahawa ada yang dilatih untuk mempertahankan tanah air sanggup terlibat dalam perbuatan kecurangan. Walaupun keadaan masih terkawal, perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pameran LIMA, Anwar berkata negara masih kekurangan aset moden untuk dipertontonkan kepada negara luar, sekali gus menjejaskan reputasi Malaysia dalam sektor pertahanan.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa perolehan aset pertahanan akan berdepan tindakan tegas.
“Kalau ada yang masih berani mengulangi kesilapan lalu, pihak berkuasa termasuk polis, SPRM dan tentera mesti bertindak tanpa kompromi. Ini penting untuk memberi pengajaran kepada generasi akan datang,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan keyakinan terhadap kemampuan industri pertahanan tempatan, khususnya Mildef, yang berjaya menghasilkan kenderaan perisai buatan Malaysia.
“Saya percaya kita ada potensi besar. Jika perolehan dilakukan secara telus dan profesional, Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan negara lain,” katanya.

