PUTRAJAYA – Langit Dataran Putrajaya bergema dengan deruman enjin pesawat apabila Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, mengetuai sendiri formasi udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, pagi Ahad.
Segmen udara itu menampilkan 30 aset pelbagai jenis melibatkan pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kehadiran Panglima TUDM dalam formasi berkenaan disifatkan sebagai simbol keberanian serta keyakinan terhadap keupayaan pertahanan udara negara.
Pertunjukan tersebut turut menjadi tumpuan utama penonton yang hadir seawal pagi bagi menyaksikan detik bersejarah itu.
“Masa jet melintasi kepala, bulu roma saya meremang,” kata seorang penonton yang ditemui MYBERITA.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bertemakan “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” itu turut dimeriahkan dengan perarakan pelbagai kontinjen melibatkan pasukan keselamatan, penjawat awam, pelajar serta wakil badan bukan kerajaan.
Pertunjukan udara yang dipimpin Jeneral Muhamad Norazlan menjadi kemuncak acara, bukan sahaja memukau pandangan ribuan rakyat, malah memperkukuh keyakinan terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara di peringkat antarabangsa.

