PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 dengan tema “Malaysia Madani, Rakyat Disantuni” membuka tirai secara rasmi tepat pukul 8 pagi tadi dengan penuh gilang-gemilang di Dataran Putrajaya.
Acara kemerdekaan negara ke-68 itu bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang menaiki kereta Proton Satria Neo dipandu sendiri oleh Seri Paduka Baginda, sekali gus mencuri perhatian orang ramai yang hadir.
Sejurus keberangkatan Baginda berdua di pentas diraja, tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 melakukan terbang lintas diiringi alunan lagu kebangsaan, Negaraku. Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum Jalur Gemilang dinaikkan dengan penuh megah, disertai 14 das tembakan meriam yang menggamatkan suasana.
Upacara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh Ketua Pegawai Peperangan KD Sri Indera Sakti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Komander Mohd. Firdaus Arbaain bersama 68 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Sebanyak 81 kontinjen membabitkan 14,062 peserta mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan kali ini, menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, selain penyertaan 116 haiwan perkhidmatan awam.
Kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Formasi pesawat tempur SU-30 MKM, Hawk, A400M serta helikopter pelbagai jenis menggegarkan ruang udara Putrajaya, mengundang sorakan gemuruh hadirin.
Sebagai penutup, persembahan seni “Citra MADANI” yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menampilkan gabungan pelbagai agensi, institusi pendidikan dan penggiat seni tanah air. Sambutan bertambah meriah dengan persembahan lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia Madani, Rakyat Disantuni, dendangan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sambutan berprestij itu sekali lagi membuktikan perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang dalam meraikan nikmat kemerdekaan tanah air.

