KUCHING – Lima individu termasuk seorang bayi perempuan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar paip air di tepi Jalan Baki Lama–Ensengei, Serian, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dipercayai sekeluarga dan menaiki sebuah kenderaan yang hilang kawalan sebelum merempuh paip air di bahu jalan.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang bayi perempuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9.04 pagi selepas menempuh perjalanan kira-kira 12 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, didapati berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan yang melanggar paip air di tepi jalan.
“Terdapat lima mangsa dalam kenderaan itu iaitu tiga wanita dewasa, seorang lelaki dewasa dan seorang bayi perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan empat mangsa dewasa yang tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Sementara itu, bayi perempuan terbabit ditemui orang awam berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai tercampak keluar akibat impak pelanggaran yang kuat.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya dikawal pada jam 9.20 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 9.51 pagi.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

