BASEL – England mengekalkan kejuaraan Euro Wanita selepas menewaskan Sepanyol 3-1 menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium St Jakob-Park, Basel, malam semalam.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 selepas masa tambahan, namun skuad Lionesses bangkit cemerlang dalam penentuan sepakan penalti untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka pada edisi terdahulu.
Sepanyol terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan Mariona Caldentey pada separuh masa pertama, sekali gus mengimbau kenangan pahit buat England yang ditewaskan pasukan sama dalam final Piala Dunia Wanita 2023 di Sydney.
Namun, England enggan mengalah. Alessia Russo menyamakan kedudukan sebelum minit ke-60 dan perlawanan berlarutan ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan.
Chloe Kelly menjadi wira England apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir, memastikan kemenangan 3-1 untuk anak buah Sarina Wiegman.
“Saya tenang, saya yakin. Saya tahu saya akan menjaringkan gol,” kata Kelly sejurus tamat perlawanan.
Sepanyol pula berdepan detik malang apabila tiga daripada sepakan penalti mereka gagal disempurnakan, termasuk oleh pemain terbaik dunia, Aitana Bonmati.
Kejayaan itu menjadikan England juara Eropah dua kali berturut-turut, selepas menundukkan Jerman dalam masa tambahan di Wembley tiga tahun lalu – kejohanan utama pertama dalam sejarah bola sepak wanita negara itu.

