JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi terus membuktikan pengaruhnya apabila mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon Barisan Nasional (BN) itu memperoleh 20,382 undi atau 80.28 peratus daripada keseluruhan undi, sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nur Hafiz Roslan yang meraih 5,007 undi atau 19.72 peratus.
Kemenangan dengan majoriti 15,375 undi itu menjadi antara yang terbesar direkodkan dalam PRN Johor setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Onn Hafiz sebagai antara pemimpin paling dominan di negeri berkenaan.
Pertandingan di DUN Machap hanya menyaksikan saingan dua penjuru, dengan BN memperoleh lebih empat perlima daripada keseluruhan undi yang dibuang.
Seramai 35,206 pengundi berdaftar layak mengundi di DUN Machap, dengan sebanyak 25,389 undi direkodkan, menjadikan peratusan keluar mengundi sebanyak 72.12 peratus.
Keputusan itu bukan sahaja memastikan Onn Hafiz terus kekal sebagai wakil rakyat Machap, malah memberikan isyarat jelas sokongan padu pengundi terhadap kepimpinan beliau di Johor.

