Suri rumah bantu 250 asnaf dijemput tunai haji

MAKKAH – Seorang suri rumah yang telah mengabdikan lebih 16 tahun hidupnya membantu golongan asnaf tidak menyangka pengorbanan dan keikhlasannya akhirnya membuka peluang untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Jameliah Abdul Manaf, 66, merupakan antara 75 penerima tajaan penuh Kerajaan Negeri Selangor bagi musim haji 1447H/2026M. Beliau menyifatkan pemilihan itu sebagai satu rezeki besar yang tidak pernah dijangka selepas sekian lama berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia.

Berasal dari Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Jameliah mula aktif dalam kerja-kerja kebajikan sekitar tahun 2010 apabila beliau melihat sendiri kesusahan penduduk setempat yang berdepan pelbagai masalah kehidupan. Antara urusan yang sering dibantu termasuk permohonan bantuan zakat, masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri, isu perumahan, serta kes keluarga yang memerlukan perhatian segera.

Menurutnya, segala usaha dilakukan atas dasar tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap nasib masyarakat, tanpa sebarang harapan untuk mendapat ganjaran atau pengiktirafan.

“Apabila dimaklumkan nama saya dicalonkan untuk menerima tajaan haji ini, saya pada mulanya menolak kerana merasakan ramai lagi yang lebih layak,” katanya.

Namun selepas dimaklumkan bahawa pemilihan tersebut merupakan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beliau akhirnya menerima tawaran itu sebagai satu ketentuan rezeki.

“Ketika itu saya rasa sangat bersyukur. Saya anggap ini jawapan kepada doa yang saya panjatkan selama ini,” katanya.

Sepanjang lebih sedekad terlibat dalam kerja kebajikan, Jameliah telah membantu lebih 250 individu dan keluarga melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk urusan asas kehidupan, pendidikan anak-anak, serta bantuan perumahan.

Walaupun ketika itu belum dilantik secara rasmi sebagai amil, beliau tetap meneruskan kerja-kerja kebajikan dengan bantuan komuniti setempat dan pihak berkaitan. Usaha berterusan itu akhirnya membawa kepada pelantikannya sebagai amil pada tahun 2019.

BACA JUGA:  \"Kami memang ngam!\", Zizan jelaskan keserasian dengan Emma kekal profesional dalam kerjaya

Beliau turut pernah menerima pengiktirafan sebagai Penolong Amil Kariah Terbaik selama dua tahun berturut-turut, sesuatu yang menurutnya menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat dengan lebih ikhlas.

Antara pengalaman yang paling sukar dilupakan ialah apabila beliau membantu sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menumpang di pelbagai lokasi sementara menunggu bantuan disalurkan.

“Kami berusaha mendapatkan bantuan dan berbincang dengan pelbagai pihak supaya mereka ada tempat berteduh. Apabila akhirnya mereka mendapat rumah sendiri dan kehidupan yang lebih stabil, perasaan itu sangat sukar digambarkan,” katanya.

Menurut Jameliah, pengalaman tersebut menjadi antara kenangan paling bermakna dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang sukarelawan kebajikan.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa perjalanan hidupnya banyak dipermudahkan dengan sokongan arwah suami yang sentiasa memberi keizinan dan dorongan untuk beliau aktif membantu masyarakat, walaupun beliau sendiri tidak mampu memandu dan sering bergantung kepada bantuan orang sekeliling.

“Saya banyak dibantu oleh arwah suami dan rakan-rakan dalam urusan harian. Beliau tidak pernah menghalang, malah sentiasa memberi galakan untuk saya terus membantu orang lain,” katanya.

Jameliah berkata, beliau percaya bahawa doa daripada mereka yang pernah dibantu serta restu keluarga menjadi antara asbab Allah membuka jalan untuk beliau menjadi tetamu-Nya pada tahun ini.

“Saya tidak pernah menyangka semua ini akan berlaku. Saya hanya buat apa yang mampu, selebihnya saya serahkan kepada Allah,” katanya.

Sumaiyah Safiah
Sumaiyah Safiah
saf@portalmyberita.com

TRENDING

DUN Johor dibubar, laluan PRN ke-16 bermula

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi...

Remaja hilang dekat Bukit Changkat Asa ditemui meninggal dunia lepas empat hari SAR

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja...

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...