KUALA LUMPUR – Kejayaan luar biasa seorang anak penjual pisang goreng yang meraih keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mendapat perhatian Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang menawarkan peluang melanjutkan pengajian ke Jordan.
Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau mencadangkan pelajar tersebut, Fakhrul Iman Zainudin, 18, mengikuti program khas ke Jordan bagi pelajar tahfiz cemerlang. Fakhrul yang juga hafiz al-Quran 30 juzuk dilihat berpotensi besar untuk mendalami bidang syariah dengan pengkhususan dalam ekonomi dan kewangan Islam.
Menurut beliau, Fakhrul yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson, hadir bersama ibu bapanya ke pejabat beliau di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bagi meneroka peluang pembiayaan pendidikan yang ditawarkan MARA.
“Saya amat teruja melihat slip keputusan Fakhrul dan terus mencadangkannya supaya menyertai program khas ke Jordan yang MARA sediakan bagi pelajar tahfiz cemerlang.
“Saya juga sempat berkongsi pengalaman dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam agar beliau lebih terbuka dan tidak hanya tertumpu kepada bidang syariah semata-mata,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Khamis.
Beliau menambah, cadangan tersebut selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju global dalam industri perbankan dan kewangan Islam, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada Fakhrul untuk menyumbang kepada negara pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan agar Fakhrul tidak melupakan pengorbanan ibu bapanya yang membesarkannya hasil jualan pisang goreng dan laksa.
“Dengan ilmu sahaja yang boleh mengubah kehidupan keluarga, dengan izin Allah SWT,” katanya.
Dalam suasana santai, beliau turut menguji hafazan al-Quran Fakhrul secara ‘tebuk’, sambil berseloroh bahawa kelulusan permohonan MARA bergantung kepada kejayaan ujian tersebut. Sokongan jelas kelihatan apabila bapanya, yang dikenali sebagai “Abang Din Goreng Pisang”, memberikan kata semangat kepada anaknya.
Sebelum ini, media melaporkan Fakhrul bukan sahaja memperoleh 11A+ dalam SPM, malah dinobatkan sebagai pelajar paling cemerlang di sekolahnya. Kejayaannya dikaitkan dengan usaha gigih untuk membanggakan ibu bapanya yang mencari rezeki sebagai peniaga kecil.
Lebih menyentuh hati, video memaparkan Fakhrul sebak dan mengelap air mata ketika menerima keputusan peperiksaan sambil ditemani bapanya turut tular di media sosial, sekali gus meraih perhatian ramai warganet. – MYBERITA

