JOHOR BAHRU – Seorang ibu muda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuan yang baru dilahirkannya dalam kejadian menggemparkan di sebuah rumah pangsa bulan lalu.
Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian bayi perempuan berkenaan di kawasan parkir Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 2, Taman Sutera Utama, Skudai, antara jam 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lalu.
Kes itu dipercayai melibatkan bayi perempuan yang dicampak dari tingkat 10 sebuah flat sebelum mayat mangsa ditemukan di kawasan parkir bangunan berkenaan.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin membawa maut. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R. Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, wanita yang masih bujang, tidak bekerja dan mempunyai seorang lagi bayi iaitu kembar kepada mangsa memohon dibenarkan jaminan atas alasan perlu menjaga bayi berkenaan selain mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen, menunggu laporan bedah siasat dan keputusan hukuman.
Sebelum ini, polis menahan seorang wanita tempatan yang dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa di bandar raya ini pada Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dilaporkan berkata pihak polis menerima laporan penemuan mayat bayi itu di kawasan parkir flat sekitar jam 2.40 petang.
Suspek yang merupakan ibu kandung bayi berkenaan kemudian ditahan di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi membantu siasatan.

