KUALA KUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai kini berada di Timur Tengah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya turut menerima maklumat tidak rasmi mengenai lokasi Adlan, namun enggan mendedahkan negara terbabit kerana ia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
“Usaha mengesan beliau masih berjalan. Semalam kita (SPRM) sudah membuat satu tindakan dan berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju dengan permohonan membatalkan pasportnya.
“Kita juga sedang berbincang dengan negara terbabit mengenai kaedah terbaik untuk membawa beliau pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA) di Wisma Ungku A Aziz, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Mereka ialah Muhammad Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat.
Kedua-duanya dikenal pasti meninggalkan Malaysia pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.
Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan notis merah terhadap Muhammad Adlan dan Mansoor sudah dimohon melalui Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan kedudukan mereka.
Langkah itu diambil susulan permintaan SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu berkenaan.

